Saturday, September 26, 2009

Destinasi: Kuala Kangsar


Belok kanan, jalan terus sampailah ke Kuala Kangsar.

Bandar diraja, bumi seribu cerita. Di sini cita-cita ditanam, di sini dicorak masa depan.

Hujan renyai-renyai menyambut ketibaan. Nota kecil dipegang, kononnya mahu dicatit segala pengalaman. Kalaulah dapat diambil segala teladan, disimpan kemas dalam fikiran. Kalaulah dapat direkodkan segala ragam manusia yang ditemukan. Kalaulah dapat digambarkan keindahan alam di seluruh tempat kaki ini telah sampai. Kalaulah boleh diambil selangkah ke belakang, supaya lebih jelas langkah ke depan. Kalaulah.. Hujan berhenti.

Lelah dek perjalanan yang panjang, duduk-duduk sebentar di tepi Sungai Perak menghirup udara nyaman. Nyaman sekali angin Kuala sepoi-sepoi bahasa datang membalut badan. Sungai Perak mungkin tak sehandal Sungai Piedra, tapi nyamannya, tenangnya tetap mendamaikan fikiran.

Tiba malam, siren keretapi memecah kesunyian. Berpuluh tahun, keretapi berkarat ini masih setia singgah ke Kuala mengambil penumpang. Aku hirup kopi pahit di kedai berdekatan stesen, duduk semeja dengan Pak Lebai. Apa cerita terbaru Kuala Kangsar pak? Tiada cerita baru, semua masih seperti dulu. Selaju mana arus kemodenan, sekuat mana pengaruh seberang lautan, Kuala Kangsar tetap tenang dan aman. Oh, Cikgu Yop Zain anak jati pekan dah berhijrah, kamu tahu?

Belok kanan, jalan terus sampailah ke Kuala Kangsar. Bunyinya macam jauh, namun jangan mengeluh, kata orang perjalanan itu penting bagi menimba pengalaman.

4 comments:

grand piss said...

Kuala Lumpur
tempat lahir kesesakan minda
tiada lagi ketenangan
apatah lagi nyaman udara yang merangsang badan

yang ada hanya peluh busuk
penat berlarian mencari sepanduk
jalan hang tuah yang terperosok
bangunan usang hampir tersodok
dgn kerasukan perut yang mahu sedut

endohasuka2507 said...

i like wat u wrote :)

izah

Anonymous said...

hari itu aku pergi yut loy..
haha..

MFO said...

taman rumah aku tu.