Maaf lama menyepi. Aku ke Canberra, kemudian Brisbane, merantau, melihat negeri orang. Termasuk kali ini, telah dua kali kedua-dua bandar tersebut menyambut jengahanku. Alhamdulillah, setakat ini kesemua bandar-bandar utama di sebelah timur benua ini telah berjaya kulawati.
Seronok merantau, melihat gelagat manusia. Namun begitu yang membuat aku sedikit terkilan ialah kegagalan untuk menjenguk beberapa tempat di tanah air sendiri. Kepulauan Borneo belum sekali melihat gelagatku, beberapa negeri di Semenanjung pun belum benar-benar aku terokai walaupun kaki pernah dijejakkan. Kebetulan aku baru habis membaca buku Ceritalah: Malaysia in Transition dan A Malaysian Journey, masing-masing karya hebat Karim Raslan dan Rehman Rashid. Persamaan kedua-dua buku terletak pada gaya penceritaan, di mana kedua-dua pengarang menulis berdasarkan rakaman pengalaman merantau di tanah air setelah banyak masa dihabiskan di perantauan. Pengamatan Karim Raslan dan Rehman Rashid kedua-duanya begitu mengagumkan, sambil gaya tulisan cukup membuatkan aku gentar.
Aku juga gemar merantau, dan aku simpan cita-cita untuk menulis tentang manusia di tempat-tempat berbeza yang aku lawati. Setakat ini peluang belum begitu terbuka, satu hari nanti mungkin? Oh, aku juga perlukan pitis.
No comments:
Post a Comment