Aku sebetulnya agak terperanjat dengan ragam dan tindakan jelas pihak kerajaan sejak kebelakangan ini dalam beberapa perkara, mungkin atas sebab tekanan dibawa oleh desas-desus pilihanraya umum akan datang yang semakin semakin kencang. Semalam ibu bapa bersama adik aku ke Stadium Melawati Shah Alam menghadiri majlis perhargaan bagi pelajar-pelajar cemerlang PMR tahun lepas. Pelajar yang terlibat dianugerahkan sijil dan wang sejumlah RM200 setiap seorang. Seingat aku selain negeri Terengganu, majlis seumpama ini merupakan yang julung kali diadakan di negara kita di mana-mana negeri. Detik hati aku, ini pasti taktik kerajaan negeri memancing undi pihak ibu bapa. Ibu aku juga berfikiran serupa. Bukannya tidak bersyukur dengan keluhuran hati pihak kerajaan negeri, cuma aku kira agak tidak patut mengeksploitasi para pelajar lebih-lebih lagi mereka yang ternyata cemerlang untuk kepentingan sendiri. Ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan, seingat aku pihak kerajaan sendiri yang dulu menegaskan jangan dicampur soal politik dan sekolah. Mungkin mereka ada hujah menyangkal penglibatan isu politik dalam hal ini, aku kurang pasti.
Yang menariknya upacara dilaksanakan oleh Menteri Besar Selangor sendiri, Dato' Seri Dr. Khir Toyo. Bukannya apa, Cuma melalui pengalaman aku sebelum ini aku amati beliau bukanlah selalu senang untuk mendampingi rakyat. Dua tahun lepas, di majlis anjuran Lembaga Peperiksaan Malaysia yang aku hadiri, Dr. Khir sepatutnya hadir sebagai tetamu utama. Namun di saat akhir beliau tiada di kerusi khas untuk tetamu jemputan, dan akhirnya tempatnya digantikan oleh seorang lagi tokoh politik kurang ternama. Ingin aku tegaskan di sini bahawa majlis tersebut bertaraf nasional, dan ketidakhadiran beliau tidak disertai dengan notis awal. Namun ini kurang penting jika dibandingkan dengan isu penduduk TTDI Jaya, kawasan perumahan yang aku duduki yang ditimpa banjir juga dua tahun lalu. Jangankan tiada bantuan, bayang-bayang Dr. Khir sendiri tidak kelihatan sepanjang tempoh penduduk terbabit ditimpa kesusahan. Nasihat aku, walau sibuk sekalipun, luangkan sedikit masa menjenguk rakyat negeri yang dalam kesukaran. Kerusi Menteri Besar tersebut takkan jadi milik anda tanpa sokongan rakyat. Jangan ditunggu pilihanraya baru turun padang, mengharapkan gelaran pemimpin berjiwa rakyat. Aku dengar penduduk TTDI Jaya cukup berang dengan beliau, dan andai berlaku lagi kes banjir mereka akan mengamuk di pejabat Dr. Khir. Minta dijauhkan.
Perdana Menteri sendiri tak lari dari ragamnya menjelang pilihanraya, walau isu pilihanraya ini cuba sebolehnya disorok dari pandangan rakyat. Dalam menyentuh Laporan Daya Saing Dunia 2007 yang mendapat liputan meluas media massa tempatan baru-baru ini, beliau mengucapkan syabas dan mengajak rakyat bersyukur atas kejayaan negara ‘mendaki’ ke tangga kelapan dunia dalam konteks daya saing negara-negara dunia. Cuma, apa yang tidak dibawa Perdana Menteri ke muka hadapan ialah perihal bagaimana ‘mendaki’ sebenarnya bukanlah ungkapan tepat. Hakikatnya keputusan yang diumumkan beliau telah diputar belit dan hanya mengambil kira beberapa kriteria, walhal cerita sebenar adalah kedudukan Malaysia sebenarnya jatuh jika dibandingkan dengan tahun-tahun sudah. Golongan cerdik pandai dan gemar mencari kebenaran pasti telah lama sedar akan perkara ini; analisis laporan tersebut ada di mana-mana di internet. Tidak mengapalah Perdana Menteri, aku faham ini disebabkan tekanan pilihanraya, di mana-mana pada masa ini pemimpin sibuk mahu mengambil hati rakyat.
Situasi sebegini aku lihat tak ubah seperti pelajar yang mahu mengambil peperiksaan tetapi hanya mengharapkan pada usaha di saat akhir. Bukankah lebih elok cuba memahami setiap topik pembelajaran dari peringkat awal, tak perlulah bersusah payah memerah otak bila sudah dekat benar dengan hari peperiksaan sebenar. Tak perlulah tunggu pilihanraya baru mahu datang dekat, menyumbang kepada rakyat. Bukankah tugas sebagai wakil kepada rakyat itu tiada masa cuti. Cuma mungkin yang membezakan situasi pelajar ini dengan hal sebenar yang aku cuba bawakan ialah pelajar ini tiada kuasa menetapkan corak soalan dan sekaligus keputusan peperiksaan tersebut.
Aku kira setakat ini dulu. Umur belum sampai 20, belum layak pun mengundi, jadi aku kira belum masanya untuk aku tulis panjang lebar.
6 comments:
tukar angin..
"Aku kira setakat ini dulu. Umur belum sampai 20, belum layak pun mengundi, jadi aku kira belum masanya untuk aku tulis panjang lebar."
bukan dah panjang ke apa yg anda bebelkan?
biasalah...kakak saya pn mengalami perkara yang sama untuk anaknya yang sedang dalam kelas tadika...
bantuan kononnya...
hello. was blog hopping and this post caught my attention. wow rm200 is a lot, considering the number of students who obtained 8As. I'm not a big fan of politics but this year's election is too "appealing" to pass. I agree with the student analogy, sedihnya politicians kat Malaysia ni mostly memang macam tu tambahan lagi we don't have a fixed period, whenever the PM says go baru la buat pilihanraya, jadi sebelum parlimen dibubarkan kecohlah menteri menteri serta pihak media menyebarkan propagandas and whatnots, semuanya yang baik baik belaka and the most absurd part to me was the fact that our preceding PM made that statement about our current one...for what? pride? @.@
oklahh enough pointless ramblings from me.
nice post, btw.
Salam
Adab mengkritik dalam Islam adalah untuk mencari kebenaran, bukan kemenangan hatta kekalahan. Kebenaran semata-mata. Isu pilihanraya sedap diulas oleh seorang yang sangat diri ini hormati, ustaz hasrizal. silalah layari artikel bertepuk sebelah tangan itu angan-angan dan sebagainya di www.saifulislam.com mungkin boleh membantu idealis seperti saudara amirul hafidz kita ini dan melayar lebarkan sayap pemikirannya yang kian membangun. Moga Allah melimpahkan hidayah tak sudah-sudah! Selamat dunia akhirat!
;) Ameen ;)
i would really love to hear you say something like this when talking to you in person.=)
HRH Fiza:
I'm actually quite familiar with your name, probably selalu came across it from some other friends' pages but too bad I never had a chance to give too much attention to your writings. Will try. Thanks for the comment anyway.
Zaim:
Thanks, will check it out.
Didy:
I guess you never gave me much chance, did you? Whenever we met up asyik kau je yang do the talking hahha.
Post a Comment