Aku punya seorang kawan, Wannard namanya. Aku tak pasti sama ada kami masih kawan, sebab sejak Wannard meninggalkan INTEC di pertengahan tahun 2006 untuk ke Kolej MARA Banting kami langsung putus hubungan.
Malam tadi siap saja assignment pukul 2.30 pagi, aku terus ke katil. Pagi ini kelas, aku mahu tidur yang cukup. Namun mata tak mampu lelap, pelik. Lantas aku teringatkan Wannard. Jangan ditanya kenapa, aku sendiri tak pasti. Hafiz dan Danni pasti gelak besar bila terbaca kisahku ini. Aku tak peduli. Gerak hatiku mengarah untuk menulis tentang Wannard.
Wannard yang kukenal ialah seorang yang hebat. Aku patut tambah ‘sangat’ sebelum adjektif ‘hebat’. Di kelas dulu, dia kerap angkat tangan menanyakan soalan. Aku dan yang lain pula cuma duduk menunggu, bilalah kelas nak tamat. Soalan Wannard bukan calang-calang. Aku ingat Mr Rosli Jee pun gementar bila nampak bayang-bayang tangan Wannard. Pernah sekali ujian Specialist Mathematics, hampir seluruh kelas gagal. Pensyarah sendiri tak komen banyak sebab itu memang subjek perah otak. Wannard? Dia dapat 94. Jangan tak percaya. Dengar saja itu aku jadi kecut. Wannard sorokkan kertas ujian itu sebaik mendapatnya, khuatir dianggap takbur aku fikir.
Tapi Wannard pelik. Aku sendiri tak pasti dari sudut mana, tapi ramai yang kurang senang dengan perangainya. Aku tak pernah ada pengalaman buruk dengan Wannard, jadi aku ambil pandangan neutral. Mungkin kepelikan Wannard yang membuatkan dia hebat. Mungkin juga darah Siamnya. Atau mungkin pendekatan pluralnya terhadap agama, itu daripada apa yang aku lihat dan dengar. Di almarinya dulu ada ditampal gambar kuda aneh, kata Wannard itulah Burak. Pelikkan Wannard?
Wannard ialah antara 50 pelajar terbaik Malaysia untuk SPM 2005, tak ramai yang tahu fakta ini. Seingat aku dia ambil 11 subjek, kesemuanya 1A. Aku tertanya kenapa dia cuma ambil 11, pada aku jumlah itu sikit, mudah baginya. Sebagai seorang non-Malay, kemahiran Wannard dalam Bahasa Melayu mengagumkan aku. Bahasa Inggeris bukanlah masalah baginya. Aku percaya Bahasa Siam juga dikuasainya.
Nadee Rahman, Paku Fakhruddin mungkin tak kenal Wannard sebab di INTEC dulu kami budak-budak PETRONAS kurang bergaul dengan yang lain, kelas pun diasingkan. Nageb, Am, Mukhlis dan Dino kenal Wannard kerana mereka semua di Kolej MARA Banting. Tapi aku tak pasti jika mereka kenal Wannard secara dekat. Mukhlis cuma asyik menceritakan apa yang peliknya Wannard. Nageb akui Wannard hebat, tapi aku tak pasti jika dia tahu sehebat mana.
Mungkin, apa yang menyebabkan aku teringatkan Wannard malam tadi ialah satu peristiwa melibatkan dia yang aku lihat sendiri di INTEC dulu. Andai aku disuruh untuk pilih satu cerita yang menggambarkan kehebatan Wannard, aku fikir inilah dia. Satu hari kami belajar Fizik, topiknya aku kurang ingat. Dipendekkan cerita, sebelum balik kami diberi assignment yang perlu dihantar esok harinya. Terkial-kial malam itu cuba menyiapkan. Kerjanya bukan senang, perlukan kefahaman dan pengetahuan mendalam. Rujukan dari internet juga penting. Maka aku habiskan malam itu, daripada selesai solat Maghrib hinggalah kira-kira 2.30 pagi bertungkus-lumus menyelesaikan assignment tersebut. Rehat cuma beberapa minit untuk solat Isya’, diselang-seli dengan gangguan oleh suara lantang Syed Jefrizil yang asyik mengusik Syed Munawir. Syed Jefrizil budak akaun, jadi kerja rumahnya tak banyak. Berbalik kepada cerita asal, selesai saja, perasaan lega yang amat. Rasa mengantuk yang dah lama aku tahan kini boleh dilayan. Tapi sebelum tidur, aku ambil keputusan melawat rakan-rakan. Ada yang masih bekerja, ada juga yang telah selesai. Tapi jawapan daripada mulut Wannard bila aku tanya bagaimana hal assignmentnya mengejutkan aku. Dia baru hendak mula. Katanya, sepanjang malam dia ada kerja lain. Aku cuba bayangkan, kalau aku ambil masa sepanjang malam, mampukah pula dia menyiapkan sebelum hari esok? Ingat, waktu itu 2.30 pagi. Pagi esok kelas bermula pukul 8, Wannard ceria seperti biasa. Aku dapat tahu dia selesai kira-kira jam lima pagi. Masa tidurnya sangat pendek. Namun sepanjang hari itu, Wannard fokus terhadap pelajaran seperti biasa. Kami yang lain parah menahan tidur. Malam tadi aku ke katil pukul 2.30 pagi, Wannard pula pukul 5, tapi kenapa aku pula yang mengantuk? Sampai sekarang aku tiada jawapan. Yang mampu aku buat hanyalah mengakui kehebatan Wannard. Rakan-rakan masih tak percaya hebatnya Wannard?
Tapi aku berjaya juga mengalahkan Wannard dalam peperiksaan pertengahan tahun di INTEC, sebelum dia keluar. Aku mendapat ranking 41. Wannard di ranking 42. Menang tipis tetap dikira menang bukan begitu? Tapi bila dilihat balik, aku kurang berpuas hati. Wannard tahu peperiksaan itu tak bawa kesan, sebab dia akan berpindah ke Kolej MARA Banting. Jadi mungkin dia tak buat sungguh-sungguh. Lagipun bila diteliti, purata markah-markah Wannard lebih memberangsangkan. Mungkin aku menang sebab subjek ESLS, markah lebih mungkin diberi oleh Miss Ong Mee Nee. Aku tak mahu komen lebih. Pokoknya, aku yakin aku tak mengalahkan Wannard dengan adil.
Apapun, Hafiz, Paku, Nageb, Miss Ong dan yang lain-lain bukanlah watak utama dalam cerita ini. Fokusnya adalah Wannard yang hebat. Malam tadi 2.30 pagi aku tak dapat tidur lalu aku teringatkan kisah Wannard yang hanya memulakan assignment fiziknya di waktu sama. Di malam lain, 2.30 pagi dah lama aku di alam mimpi. Jika tidakpun, esok pagi mesti bangun lambat. Tapi pada waktu sama Wannard masih mampu bekerja. Esoknya, dia segar seperti biasa. Nageb gemar juga tidur lambat tapi keesokan harinya, lentok juga dia di kelas. Aku kagum dengan Wannard. Aku mahu jadi hebat seperti Wannard. Tapi perangai peliknya, aku tak mahu ambil.